TEMA: IMPAK ALAM SEKITAR DAN PENGURUSANNYA.
SOALAN PILIHAN 1
a) Apakah yang
dimaksudkan dengan kemerosotan
kualiti sumber air ?.
[5 Markah]
b) Jelaskan
bagaimana aktiviti pembangunan ekonomi telah menyebabkan kemerosotan
kualiti sumber air. [10 Markah]
c) Huraikan
langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah kemerosotan
kualiti sumber air. [10 Markah]
CADANGAN JAWAPAN:
a) Apakah yang
dimaksudkan dengan kemerosotan
kualiti sumber air ?.
[5 Markah]
Konsep kemerosotan kualiti
sumber air.
|
Pencemaran sumber-sumber air = kemerosotan kualiti sumber air.
Iaitu sumber-sumber air bersih samada dari sungai, laut, tasik,kolam dan
takungan semulajadi, air bawah tanah dan juga air hujan tercemar atau semakin
rendah kualitinya. Indeks kemerosotan kualiti air bersih (kadar pencemaran
air) dari pelbagai sumber ini boleh diukur melalui pelbagai indikator seperti
kandungan Permintaan Oksigen Biologikal (BOD), kandungan bakteria Escherichia
Coli (E. Coli), kandungan Amoniakal Nitrogen (NH3 - N), kandungan Pepejal Terampai (SS),
Nilai Keasidan ( pH) disamping perubahan warna dan bauyang ada di dalam
sesuatu sumber air tersebut.
Contoh-Contoh pencemaran sumber air ialah: Pencemaran sungai seperti Sungai Gombak dan
Sungai Kelang, pencemaran laut seperti di Selat Melaka, , pencemaran tasik
seperti Tasik Minimata di Jepun akibat pembuangan raksa ke dalamnya,
pencemaran air bawah tanah dan juga pencemaran air hujan iaitu hujan asid
khususnya di kawasan-kawasan perindustrian yang padat
|
b) Jelaskan
bagaimana aktiviti pembangunan ekonomi telah menyebabkan kemerosotan
kualiti sumber air. [10 Markah]
Kemerosotan kualiti sumber air berlaku melalui pembangunan ekonomi
berikut:
|
1. Pembangunan tanah secara
besar-besaran samada untuk pertanian, petempatan,pembandaran,perindustrian
dan lain-lain yang melibatkan aktiviti pembalakan dan penyahutanan. Ini
menyebabkan sumber air seperti sungai dan tasik tercemar apabila
partikel-partikel tanah yang terhakis di bawa oleh larian air permukaan ke
sungai. Kemerosotan kualiti air dikesan melalui kandungan pepejal terampai
(SS) dan juga kekeruhan/perubahan warna air. Sebagai contoh pencemaran di
Sungai Kelantan akibat pembangunan tanah kawasan KESEDAR pada tahun 1970-an.
2. Pembangunan pertanian .Penggunaan racun
seperti DDT dan penggunaan baja kimia menyebabkan sumber-sumber air seperti
air tanah tercemar apabila bahan kimia tersebut dilarutresapkan, air sungai,
paya dan tasik juga tercemar akibat dibawa oleh air hujan. Kemerosotan
kualiti sumber air ini dikesan melalui nilai pH. Contohnya banyak terdapat di
kawasan perladangan getah dan kelapa sawit.
3. Pembangunan sektor penternakan. Penyaliran
najis haiwan seperti najis khinzir ke sungai atau pembuangan sisa-sisa haiwan
yang disembelih atau yang mati ke
sungai, tasik dan paya. Air sungai berbau busuk, kandungan bakteria E.Coli
amat tinggi, kadar alir sungai amat perlahan - “sungai mati”. Contoh terbaik ialah sungai Sepang, Selangor yang
telah dikelaskan sebagai terjejas teruk akibat pembuangan najis dan sisa
ternakan dari hampir 100 ladang khinzir yang terletak di tebingnya.
4. Pembangunan perindustrian. Perlepasan
Enfluen/sisa kilang ke sungai, tasik,paya dan sebagainya. Sektor perkilangan
dianggap sebagai sector yang paling banyak menyumbang kepada pencemaran
sumber air khususnya air sungai. Kilang-kilang yang banyak mencemarkan sungai
ialah kilang memproses getah serta kelapa sawit. Sebagai contoh sungai Sekudai,
Johor dan sungai Prai di Pulau Pinang. Kadar kemerosotan diukur dengan indikator kandungan BOD dalam air di
samping perubahan warna dan bau. Selain itu perlepasan bahan-bahan pencemar
dari serombong kilang ke udara boleh menyebabkan kualiti air hujan merosot -
hujan asid.
5. Pembangunan sektor pelancongan.
Perlepasan sisa kumbahan dari hotel, resort dan chalet ke laut menyebabkan
pencemaran air laut. Kemerosotan kualiti air laut ini dikesan melalui
kandungan bakteria E.Coli. Jika melebihi paras yang dibenarkan 200 MPN/100 ml
maka air laut tersebut sudah tercemar.
Punca ini banyak terdapat di kawasan pelancongan popular seperti di Port
Dickson Negeri Sembilan dan Batu Feringgi di Pulau Pinang.
6. Pembangunan sektor
pengangkutan. Sumber air laut tercemar
melalui pembuangan enap cemar serta perlanggaran dan tumpahan minyak oleh
kapal-kapal tangki. Dikesan melalui kewujudan ketulan-ketulan tar/minyak
mentah menutupi permukaan air laut. Di perairan Selat Melaka berisiko tinggi
untuk sumber laut tercemar kerana selat ini merupakan antara jalan air
tersibuk di dunia.
7. Pembangunan pesat sektor
pembandaran. Pertambahan penduduk bandar, kewujudan kawasan setinggan yang
membuang sisa domestik seperti sampah sarap dan air kumbahan ke sungai. Termasuk juga pembuangan sisa-sisa
makanan oleh peniaga kecil dan lain-lain sisa dari kawasan perumahan ke
sungai dan paya . Pembuangan sisa domestik khususnya sampah sarap dari
kawasan-kawasan setinggan menjadi punca penting mengapa sungai Gombak dan
Sungai Kelang di Kuala Lumpur tercemar teruk.
8. Pembangunan sumber tenaga. Di
peringkat awal pembinaan empangan hidro elektrik biasanya mencemarkan sungai
dengan kelodak dan bahan ampaian. Begitu juga penggunaan air untuk
pembersihan dan penyejukan loji janakuasa elektrik yang menggunakan petroleum
sebagai bahan bakarnya. Air buangan setelah loji dibersih/disejukkan yang
disalirkan ke sungai menyebabkan sungai tercemar.
9. Pembangunan sektor perlombongan. Sisa
perlombongan bijih timah, emas dan tembaga mencemarkan sungai dan tasik
apabila ia dialirkan/dibuang ke dalamnya seperti kes perlombongan tembaga di Mamut Sabah. Pencemaran laut di
kawasan pelantar cari gali petroleum juga boleh berlaku semasa kerja-kerja pengerudian
dijalankan.
|
c) Langkah-langkah
yang boleh diambil bagi mengatasi masalah kemerosotan kualiti sumber air.
1. Langkah perundangan. Penguatkuasaan
undang-undang - pengawasan/pemantauan yang teliti serta tindakan tegas
termasuk denda/kompaun, menarik balik lesen operasi dan juga penjara ke atas
mana-mana pihak yang dikenalpasti mencemarkan sumber-sumber air samada dari
pekilang, penternak, pemilik-pemilik kapal, orang perseorangan dan
sebagainya. Langkah ini dilaksanakan oleh JAS di bawah Akta Kualiti Alam
Sekitar 1974.
2. Mengawal - selia aktiviti pembalakan dan
penyahutanan terutamanya di kawasan rezab sungai, kawasan tadahan/hutan
simpan dan sebagainya bagi menjamin sumber air sungai sentiasa bersih dan
berterusan. Misalnya kawasan 10 km dari tebing sungai merupakan kawasan rezab
atau kawasan penampan yang tidak boleh diusik untuk pembalakan dan
penyahutanan.
3. Merawat air yang telah tercemar khususnya
akibat sisa kilang dan air kumbahan. Di samping menyedia/memperbanyakkan loji
merawat air. Hanya air yang sudah dirawat sahaja yang boleh dialirkan ke
sungai semula. Loji perawatan boleh ditempatkan terus di tebing-tebing sungai
. Selain itu menyediakan sistem pemerangkap sampah yang berkesan untuk
membersihkan sungai dari pencemaran sampah sarap dan juga melicinkan kadar
alirnya. Pada masa yang sama juga usaha-usaha mempertingkatkan R&D dan
teknologi haruslah dijalankan dari masa ke semasa seperti teknologi kitar semula air atau mengubah
teknologi perindustrian ke arah yang tidak mencemarkan air bagi menjamin
sumber-sumber air masa hadapan sentiasa bersih.
4. Meningkatkan kerjasama serantau
bagi mengawal pencemaran laut. Misalnya di kalangan negara ASEAN - kerjasama
dilakukan melalui pemantauan dan rondaan bersama, perkongsian teknologi dan
kos pemuliharaan /pembersihan air laut yang tercemar di samping penyelarasan
undang-undang dan peraturan laut.
5. Melaksanakan kempen dan
pendidikan alam sekitar. Menyedarkan masyarakat tentang pentingnya air bersih
dan menjaga sumber air sebagai penerus kehidupan. Kempen dilaksanakan melalui
pelbagai saluran media massa seperti kempen cintailah sungai kita, hargailah air dan sebagainya atau
menganjurkan pelbagai aktiviti sosial seperti gotong-royong pembersihan
sungai.
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan