27 Oktober, 2015

SOALAN PILIHAN PENGGAL 3

TEMA: IMPAK ALAM SEKITAR DAN PENGURUSANNYA.

SOALAN PILIHAN 1

a)         Apakah yang dimaksudkan dengan kemerosotan kualiti sumber air  ?.
                                                                                                               [5 Markah]
b)        Jelaskan bagaimana aktiviti pembangunan ekonomi telah menyebabkan kemerosotan kualiti  sumber air.                             [10 Markah]

c)         Huraikan langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah kemerosotan kualiti  sumber air.                                      [10 Markah]


CADANGAN JAWAPAN:

a)         Apakah yang dimaksudkan dengan kemerosotan kualiti sumber air  ?.
                                                                                                               [5 Markah]

Konsep kemerosotan kualiti sumber air.

Pencemaran sumber-sumber air = kemerosotan kualiti sumber air. Iaitu sumber-sumber air bersih samada dari sungai, laut, tasik,kolam dan takungan semulajadi, air bawah tanah dan juga air hujan tercemar atau semakin rendah kualitinya. Indeks kemerosotan kualiti air bersih (kadar pencemaran air) dari pelbagai sumber ini boleh diukur melalui pelbagai indikator seperti kandungan Permintaan Oksigen Biologikal (BOD), kandungan bakteria Escherichia Coli (E. Coli), kandungan Amoniakal Nitrogen (NH3 - N), kandungan Pepejal Terampai (SS), Nilai Keasidan ( pH) disamping perubahan warna dan bauyang ada di dalam sesuatu sumber air tersebut.

Contoh-Contoh pencemaran sumber air ialah:  Pencemaran sungai seperti Sungai Gombak dan Sungai Kelang, pencemaran laut seperti di Selat Melaka, , pencemaran tasik seperti Tasik Minimata di Jepun akibat pembuangan raksa ke dalamnya, pencemaran air bawah tanah dan juga pencemaran air hujan iaitu hujan asid khususnya di kawasan-kawasan perindustrian yang padat

b)        Jelaskan bagaimana aktiviti pembangunan ekonomi telah menyebabkan kemerosotan kualiti  sumber air.                             [10 Markah]

Kemerosotan kualiti sumber air berlaku melalui pembangunan ekonomi berikut:
1. Pembangunan tanah secara besar-besaran samada untuk pertanian, petempatan,pembandaran,perindustrian dan lain-lain yang melibatkan aktiviti pembalakan dan penyahutanan. Ini menyebabkan sumber air seperti sungai dan tasik tercemar apabila partikel-partikel tanah yang terhakis di bawa oleh larian air permukaan ke sungai. Kemerosotan kualiti air dikesan melalui kandungan pepejal terampai (SS) dan juga kekeruhan/perubahan warna air. Sebagai contoh pencemaran di Sungai Kelantan akibat pembangunan tanah kawasan KESEDAR pada tahun 1970-an.

2.  Pembangunan pertanian .Penggunaan racun seperti DDT dan penggunaan baja kimia menyebabkan sumber-sumber air seperti air tanah tercemar apabila bahan kimia tersebut dilarutresapkan, air sungai, paya dan tasik juga tercemar akibat dibawa oleh air hujan. Kemerosotan kualiti sumber air ini dikesan melalui nilai pH. Contohnya banyak terdapat di kawasan perladangan getah dan kelapa sawit.

3.  Pembangunan sektor penternakan. Penyaliran najis haiwan seperti najis khinzir ke sungai atau pembuangan sisa-sisa haiwan yang disembelih atau yang mati  ke sungai, tasik dan paya. Air sungai berbau busuk, kandungan bakteria E.Coli amat tinggi, kadar alir sungai amat perlahan - “sungai mati”. Contoh terbaik ialah sungai Sepang, Selangor yang telah dikelaskan sebagai terjejas teruk akibat pembuangan najis dan sisa ternakan dari hampir 100 ladang khinzir yang terletak di tebingnya.

4.  Pembangunan perindustrian. Perlepasan Enfluen/sisa kilang ke sungai, tasik,paya dan sebagainya. Sektor perkilangan dianggap sebagai sector yang paling banyak menyumbang kepada pencemaran sumber air khususnya air sungai. Kilang-kilang yang banyak mencemarkan sungai ialah kilang memproses getah serta kelapa sawit. Sebagai contoh sungai Sekudai, Johor dan sungai Prai di Pulau Pinang. Kadar kemerosotan diukur dengan indikator kandungan BOD dalam air di samping perubahan warna dan bau. Selain itu perlepasan bahan-bahan pencemar dari serombong kilang ke udara boleh menyebabkan kualiti air hujan merosot - hujan asid.

5.  Pembangunan sektor pelancongan. Perlepasan sisa kumbahan dari hotel, resort dan chalet ke laut menyebabkan pencemaran air laut. Kemerosotan kualiti air laut ini dikesan melalui kandungan bakteria E.Coli. Jika melebihi paras yang dibenarkan 200 MPN/100 ml maka air laut tersebut  sudah tercemar. Punca ini banyak terdapat di kawasan pelancongan popular seperti di Port Dickson Negeri Sembilan dan Batu Feringgi di Pulau Pinang.

6.  Pembangunan sektor pengangkutan. Sumber air  laut tercemar melalui pembuangan enap cemar serta perlanggaran dan tumpahan minyak oleh kapal-kapal tangki. Dikesan melalui kewujudan ketulan-ketulan tar/minyak mentah menutupi permukaan air laut. Di perairan Selat Melaka berisiko tinggi untuk sumber laut tercemar kerana selat ini merupakan antara jalan air tersibuk di dunia.

7.   Pembangunan pesat sektor pembandaran. Pertambahan penduduk bandar, kewujudan kawasan setinggan yang membuang sisa domestik seperti sampah sarap dan air kumbahan ke sungai. Termasuk juga pembuangan sisa-sisa makanan oleh peniaga kecil dan lain-lain sisa dari kawasan perumahan ke sungai dan paya . Pembuangan sisa domestik khususnya sampah sarap dari kawasan-kawasan setinggan menjadi punca penting mengapa sungai Gombak dan Sungai Kelang di Kuala Lumpur tercemar teruk.





8.   Pembangunan sumber tenaga. Di peringkat awal pembinaan empangan hidro elektrik biasanya mencemarkan sungai dengan kelodak dan bahan ampaian. Begitu juga penggunaan air untuk pembersihan dan penyejukan loji janakuasa elektrik yang menggunakan petroleum sebagai bahan bakarnya. Air buangan setelah loji dibersih/disejukkan yang disalirkan ke sungai menyebabkan sungai tercemar.


9.  Pembangunan sektor perlombongan. Sisa perlombongan bijih timah, emas dan tembaga mencemarkan sungai dan tasik apabila ia dialirkan/dibuang ke dalamnya seperti kes perlombongan  tembaga di Mamut Sabah. Pencemaran laut di kawasan pelantar cari gali petroleum juga boleh berlaku semasa kerja-kerja pengerudian dijalankan.


c)         Langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah kemerosotan kualiti sumber air.                                

1.  Langkah perundangan. Penguatkuasaan undang-undang - pengawasan/pemantauan yang teliti serta tindakan tegas termasuk denda/kompaun, menarik balik lesen operasi dan juga penjara ke atas mana-mana pihak yang dikenalpasti mencemarkan sumber-sumber air samada dari pekilang, penternak, pemilik-pemilik kapal, orang perseorangan dan sebagainya. Langkah ini dilaksanakan oleh JAS di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.

2.  Mengawal - selia aktiviti pembalakan dan penyahutanan terutamanya di kawasan rezab sungai, kawasan tadahan/hutan simpan dan sebagainya bagi menjamin sumber air sungai sentiasa bersih dan berterusan. Misalnya kawasan 10 km dari tebing sungai merupakan kawasan rezab atau kawasan penampan yang tidak boleh diusik untuk pembalakan dan penyahutanan.

3.   Merawat air yang telah tercemar khususnya akibat sisa kilang dan air kumbahan. Di samping menyedia/memperbanyakkan loji merawat air. Hanya air yang sudah dirawat sahaja yang boleh dialirkan ke sungai semula. Loji perawatan boleh ditempatkan terus di tebing-tebing sungai . Selain itu menyediakan sistem pemerangkap sampah yang berkesan untuk membersihkan sungai dari pencemaran sampah sarap dan juga melicinkan kadar alirnya. Pada masa yang sama juga usaha-usaha mempertingkatkan R&D dan teknologi haruslah dijalankan dari masa ke semasa seperti  teknologi kitar semula air atau mengubah teknologi perindustrian ke arah yang tidak mencemarkan air bagi menjamin sumber-sumber air masa hadapan sentiasa bersih.

4.  Meningkatkan kerjasama serantau bagi mengawal pencemaran laut. Misalnya di kalangan negara ASEAN - kerjasama dilakukan melalui pemantauan dan rondaan bersama, perkongsian teknologi dan kos pemuliharaan /pembersihan air laut yang tercemar di samping penyelarasan undang-undang dan peraturan laut.

5.  Melaksanakan kempen dan pendidikan alam sekitar. Menyedarkan masyarakat tentang pentingnya air bersih dan menjaga sumber air sebagai penerus kehidupan. Kempen dilaksanakan melalui pelbagai saluran media massa seperti kempen cintailah sungai kita, hargailah air dan sebagainya atau menganjurkan pelbagai aktiviti sosial seperti gotong-royong pembersihan sungai.



Tiada ulasan :

Catat Ulasan