24 Mei, 2014

GEOGRAFI MANUSIA PENGGAL 1 : PENDUDUK

PENDUDUK

1.1    KONSEP PENDUDUK
Penduduk merupakan sekumpulan manusia yang mendiami / menetap di sesuatu kawasan dalam sesuatu tempoh masa tertentu.
Jumlah penduduk adalah dinamik (sentiasa berubah-ubah) dan tidak statik kesan dari faktor kelahiran dan kematian serta migrasi.

1.1.1        PENDUDUK SEBAGAI SUMBER
1 Penduduk merupakan sumber manusia yang penting dan berharga bagi sesebuah kawasan / negara.
1 Sumber manusia ini merujuk kepada :
                          i.         Sumber tenaga kerja.
                        ii.         Sumber pasaran.
                      iii.         Sumber keselamatan (tentera).
1 Sumber manusia di sesebuah negara boleh diukur dan dinilai dari segi;
                          i.         Kuantiti ( bilangan / saiz )
                        ii.         Umur & jantina).
                      iii.         Kualiti.

1 Dari segi kuantiti:
Manusia diukur dari sudut bilangan (saiz / jumlah penduduk.
Bilangan:
Penduduk yang ramai, jika diberi pendidikan dan dibekali kemahiran, berpotensi menjadi tenaga kerja yang baik. Jumlah penduduk yang ramai membantu menyediakan sumber tenaga yang mencukupi bagi sektor-sektor ekonomi seperti perindustrian, pertanian, perkhidmatan dll. Keadaan ini membantu memajukan sesebuah negara. Negara yang mempunyai jumlah penduduk yang banyak berkemampuan menjana pelbagai sektor ekonomi, meluaskan saiz pasaran, meningkatkan kutipan cukai dan memiliki ramai jumlah anggota keselamatan (tentera).
Contoh, Malaysia melaksanakan Dasar 70 Juta Orang Penduduk bagi memenuhi keperluan gunatenaga dalam pelbagai sektor ekonomi dan saiz pasaran bagi kemajuan negara.
1 Dari segi Struktur Umur dan Jantina:
Umur dan jantina penduduk boleh mempengaruhi corak guna tenaga yang ada di sesebuah kawasan atau negara.
Penduduk dewasa yang terlatih boleh menyumbang secara produktif kepada ekonomi negara. Sementara kehadiran ramai penduduk tua dan kanak-kanak selalunya dikaitkan dengan besarnya jumlah tanggungan keluarga dan negara.
Jantina pula boleh dikaitkan dengan jenis aktiviti ekonomi, misalnya sektor industri berat yang memerlukan kekuatan tenaga fizikal manusia lazimnya mengupah lebih ramai pekerja lelaki.
Contohnya kilang memasang kereta di Shah Alam (Selangor), membungkus baja dan kilang petrokimia di Kerteh (Terengganu). Manakala industri yang berintensif buruh yang memerlukan tahap ketekunan dan kehalusan yang tinggi pula lazimnya mengupah ramai pekerja wanita. Contohnya kilang produk barangan elektrik dan elektronik di Bayan Lepas (Pulau Pinang).

1 Dari Segi Kualiti:
Kualiti penduduk merujuk kepada :
i.        ciri-ciri fizikal,
ii.      taraf pendidikan,
iii.    kemahiran,
iv.    kesihatan, dan
v.      sikap.
Misalnya, penduduk sesebuah kawasan yang terdidik (lepasan universiti dan kolej), mahir dan berpengalaman mengendali peralatan kilang yang moden, sihat tubuh badan dan mempunyai sikap terbuka, boleh bekerjasama sebagai satu pasukan, lazimnya lebih berkualiti dan mampu menarik pelaburan. Jadi kualiti penduduk menentukan tahap pembanguan sesebuah negara atau kawasan.
Era globalisasi kini memerlukan penduduk yang berkualiti, dapat menguasai kemahiran teknologi dan maklumat (ICT) serta kemahiran berbahasa Inggeris untuk berdaya saing. Ini selaras dengan perkembangan sosioekonomi dunia berasaskan k-ekonomi. Pekerja yang berkemahiran dalam bidang ICT ini menggalakkan perkembangan dalam e-dagang, e-pelaburan, e-governan dsb.
Contohnya, di negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Britain kualiti penduduknya adalah tinggi membantu memajukan negara. Manakala di negara seperti Somalia, Sudan dan Kenya kualiti penduduknya yang rendah mengakibatkan kemunduran negara tersebut.

1.1.2        PENDUDUK SEBAGAI AGEN PERUBAHAN
Konsep ini memperlihatkan manusia sebagai agen perubahan melalui aktiviti pembangunan sosioekonomi. Kegiatan penduduk boleh mengakibatkan berlakunya perubahan landskap fizikal, tahap kemajuan sosioekonomi (kualiti hidup), serta landskap budaya di sesebuah negara.

1   Perubahan Ruang Fizikal;
Perubahan ini boleh diperhatikan melalui aktiviti manusia ke atas alam sekitar fizikal bagi memenuhi keperluan hidup mereka. Ini termasuk perkembangan kawasan petempatan, rumah kediaman, jalan perhubungan dan jaringan komunikasi. Kawasan yang berpotensi, dimajukan dengan pembangunan dan seterusnya mewujudkan perubahan yang besar kepada landskap semulajadi.
Tindakan manusia menarah, menebuk, meratakan bukit serta mengorek tanah menghasilkan pandang darat seperti lurah, bukit gondol, tasik dsb. Keadaan ini menggalakkan kejadian pencemaran, hakisan tanah & tanah runtuh, pemanasan mikro / setempat dsb.
Aktiviti manusia boleh mengakibatkan empat sistem fizikal berubah ;
o         Geomorfologi             : terhadap tanah, bukit, batuan
o         Atmosfera                  : terhadap udara, suhu, angin
o         Hidrologi                    : terhadap sumber air
o         Ekologi                       : terhadap haiwan & tumbuhan

Kegiatan penyahhutanan untuk kegiatan ekonomi seperti pertanian, kawasan perindustrian, kemudahan infrastruktur dan prasarana mengakibatkan kemusnahan ekologi hutan semulajadi yang membawa kepupusan sumber flora dan fauna, gangguan keseimbangan ekosistem dan gangguan kitaran hidrologi.
Cth, pembinaan empangan Kenyir (Terengganu) telah menengelamkan kawasan hutan seluas beratus-ratus hektar dan mewujudkan pandang darat baru di kawasan tersebut iaitu tasik buatan.


1   Perubahan Sosioekonomi;
Perubahan sosial dapat dilihat dari sudut pendidikan, kesihatan, dan telekomunikasi - Perubahan Pendidikan seperti penubuhan pusat bimbingan kanak-kanak, tusion, kolej, dan universiti. Selain itu, pusat-pusat latihan & kemahiran seperti Giat Mara. Perubahan Kesihatan seperti penaik tarafan klinik desa kepada klinik yang lebih moden, pertambahan klinik dan hospital, pusat rawatan alternatif dsb. Perubahan teknologi dilihat melalui perkembangan dalam bidang telekomunikasi seperti satelit, telefon selular, Sistem Penentuan Global (GPS), Sistem Informasi Geografi (GIS) dsb.
Kemajuan ekonomi boleh dikesan melalui perubahan pekerjaan, pendapatan, pemilikan harta benda. Indikator yang biasanya dirujuk adalah seperti pertumbuhan KDNK, peningkatan pendapatan perkapita, kuasa beli, dan taraf hidup serta perluasan saiz pasaran. Penduduk merupakan pemankin perubahan sektor ekonomi - tradisional  iaitu pertanian kepada sektor ekonomi yang lebih moden pada masa kini seperti perindustrian dan perkhidmatan. Kepelbagaian ekonomi juga dapat diwujudkan dengan perkembangan kualiti dan kuantiti penduduk seperti perkembangan bidang perdagangan, perniagaan, pelancongan, dll. Selain itu ia juga mempengaruhi luasnya permintaan dan penawaran pasaran.
Cth, peningkatan pengetahuan dan kemahiran serta teknologi di Malaysia telah merubah dan mempelbagaikan kegiatan ekonomi yang wujud. Daripada ekonomi yang berasaskan pertanian dan perlombongan kepada ekonomi yang lebih moden seperti perindustrian dan perkhidmatan.

1   Perubahan Landskap Budaya;
Penduduk juga mempengaruhi perubahan yang pesat terhadap kewujudan landskap budaya seperti petempatan, pola guna tanah, pengangkutan dsb.
Perubahan landskap budaya berlaku kesan dari peningkatan kualiti hidup, budaya dan pemikiran masyarakat. Fenomena pembandaran yang berlaku pada masa kini telah merubah gaya dan cara hidup masyarakat setempat dan seterusnya mengubah landskap budaya setempat.
Perubahan petempatan – pembinaan rumah banglo, flat, kondominium, taman perumahan dsb.
Perubahan pola guna tanah – pertanian tradisional kepada pertanian moden, sektor pertanian kepada sektor industri & perkhidmatan, jenis tanaman kormesial, bangunan-bangunan, parking lot dsb.

Perubahan pengangkutan – pembesaran jalan-jalan perhubungan (lebuh raya, lebuh raya bertingkat, jambatan), pertambahan pengangkutan awam (bas, teksi, LRT, monorel dll) – darjah kertersampaian tinggi & mempengaruhi mobiliti penduduk.

GEOGRAFI FIZIKAL PENGGAL 1 : SISTEM BUMI

TEMA 1  :  SISTEM BUMI

1.1  KONSEP SISTEM

Sistem alam sekitar fizikal boleh ditakrifkan sebagai satu set angkubah atau unsur-unsur yang saling bertindak antara satu sama lain sebagai satu organisasi yang agak kompleks. Selain mempunyai unsur-unsur yang saling bertindak, sesebuah sistem itu juga mempunyai tenaga dan bahan yang dapat masuk dan keluar dari sistem tersebut. Tenaga matahari ialah agen utama penggerak keseluruhan operasi sistem untuk mencapai tahap keseimbangan. Sistem bumi juga mempunyai sempadan sendiri di samping memiliki sifat pemulihan kendiri.

CIRI-CIRI DALAM SESUATU SISTEM
Kesemua sistem mempunyai ciri-ciri yang hampir sama. Antaranya ialah :
1.     Mempunyai satu bentuk struktur atau organisasi tertentu.
2.     Mempunyai sifat-sifat umum, abstrak atau unggul berhubung keadaan sebenar      
      di bumi. 
3.     Semua jenis sistem adalah berfungsi.
4.     Setiap sistem terdapat satu bentuk pertalian dari segi fungsi antara setiap
      angkubah dalam organisasinya.
5.     Fungsi setiap sistem membenarkan aliran atau perpindahan bahan.
6.     Perpindahan bahan dalam sesuatu sistem wujud dengan adanya sumber
      tenaga yang bertindak sebagai agen penggerak.
7.     Semua jenis sistem mempamerkan sifat-sifat gabungan atau integrasi antara
      angkubah-angkubah yang berbentuk sistem.
8.     Contohnya sistem geomorfologi, objek-objek yang biasanya ialah bentuk muka        
      bumi manakala angkubah yang lainnya ialah ciri-ciri topografi, tanih, geologi        
      (batuan) dan lain-lain.
9.     Perhubungan antara angkubah-angkubah ini melibatkan penukaran tenaga
      bahan-bahan, air dan akan berlaku cantuman saling bertindakbalas antara      
      angkubah.
10.             Mempunyai sempadan yang bersifat jelas atau arbitari. Oleh itu, sistem boleh
       terbahagi kepada yang berskala besar dan berskala kecil.
11.             Sesuatu sistem boleh dilihat pada ciri-ciri angkubahnya seperti unsur, sifat dan
       pertalian.
12.             Sesuatu boleh dibezakan antara sistem lain berdasarkan kepada sempadan   
      sesuatu sistem.
JENIS-JENIS SISTEM

      Sistem Terpencil (Isolated System)

Dalam sistem terpencil tidak ada sebarang bentuk interaksi antara angkubah-angkubah dengan alam sekitar melepasi sempadan sistem.
a.     Sistem terpencil tidak berupaya bertukar tenaga atau bahan dengan alam  
      sekitarnya atau dengan sistem-sistem yang lain.
b.     Dalam sistem ini tiada input tenaga dan bahan dari luar sistem ke sistem ini.
c.      Contoh sistem terpencil boleh berlaku dalam keadaan tercipta oleh manusia
      seperti dalam makmal untuk menjalankan ujikaji-ujikaji sains sahaja,contohnya     
      gas di dalam ‘test tube’.

     Sistem Tertutup (Closed System)
                   
a.     Sistem tertutup mempunyai sempadan yang menghalang kemasukan bahan
      tetapi membenarkan kemasukan tenaga.
b.     Sistem akan mengalami degradasi tenaga mengikut masa.
c.      Sistem mengikut masa akan luput jika tiada tenaga baru yang dibekalkan.
d.     Sistem tertutup daripada kemasukan bahan daripada sistem lain.
e.     Sistem ini membenarkan pengaliran tenaga.

      Sistem Terbuka (Open System) 

a.     Terdapat sempadan yang arbitari @ jelas tetapi terbuka kepada kemasukan   
      tenaga dan bahan. Fungsi kemasukan ini untuk membekal dan memelihara
      sistem supaya terus wujud dan tidak luput mengikut masa.
b.     Kemasukan tenaga dan bahan akan mewujudkan pertalian bentuk “web” di
      antara “attribute”. Kadar kemasukan tenaga dan bahan boleh berubah dan
      sistem akan mencapai sesuatu keseimbangan yang baru.
c.      Objek itu menunjukkan ciri yang pelbagai sifatnya. Setiap satunya terikat
      antara satu sama lain melalui pertalian-pertalian tertentu.
d.     Objek-objek yang diikat oleh aliran tenaga akan menghidupkan sistem itu.
e.     Sesuatu aliran terbuka sentiasa berhadapan dengan aliran input tenaga dan
      Bahan yang tiada berkesudahan ke atas angkubah-angkubah sistemnya.
f.       Setelah berlaku tindak balas atau proses akan dapat pula keluaran dari sesuatu
      sistem. Contoh sistem sungai boleh dianggap sebagai sistem terbuka. Ia
      menerima hujan sebagai kemasukan bahan-bahan dan air keluar ke laut.   


Beberapa ahli geografi membahagikan sistem alam sekitar fizikal kepada tiga iaitu sistem berstruktur (morfologi), sistem berfungsi (lata) dan sistem interaktif (gabungan sistem berstruktur dan sistem berfungsi). Rujuk Jadual 1.1

Jadual 1.1  Contoh sistem berstruktur, sistem berfungsi dan sistem interaktif

Bil
Topik
Sistem Berstruktur
Sistem Berfungsi
Sistem Berinteraktif
1
Kaji cuaca/kaji iklim
·  bentuk awan
· ketinggian awan
· ketebalan awan
·  sejatan
·  pemeluwapan
·  kerpasan
· tekanan rendah
· latitud tengah
2
Hidrologi
· storan pemintasan
· storan lembapan
· tanih
· storan saluran
· aliran sungai
· banjir
3
Tanih
· pH tanih
· ketebalan tanih
· tumbuhan
· luluhawa
· kesotan tanih
· penpodzolan
· ekosistem
4
Geomorfologi fluvial
· gradien cerun
· ketumpatan saliran
· gradien saluran
·  golekan lelasan
· lembangan saliran
5
Pantai
· cerun pantai
· saiz partikel
· keluasan pantai
· damparan
· unduran
· biasan ombak
· tanjung teluk


Sistem berstruktur (morfologi) terdiri daripada ciri-ciri fizikal yang formal yang bergabung untuk membentuk suatu bahagian fizikal yang beroperasi. Bagi setiap unit sistem ini terdapat unsur-unsur atau parameter yang saling berinteraksi. Misalnya morfologi bagi unit sistem pantai terdiri daripada cerun pantai, taburan bijian pasir, keteguhan pantai, kekuatan ombak, arus, pasang surut dan sebagainya membentuk unit morfologi pantai tersebut. Proses yang penting dalam sistem morfologi ini ialah jika sekiranya berlaku perubahan terhadap salah satu unsur atau parameternya maka unsur-unsur yang lain juga akan turut berubah bagi mancapai keseimbangan yang baru.  

Sistem berfungsi (sistem lata) pula lebih bersifat sehala. Ia merujuk kepada rantaian subsistem yang mengandungi input, storan dan output bahan dan tenaga. Output bahan dan tenaga dari satu subsistem akan menjadi input kepada subsistem yang lain. Misalnya dalam konteks kitar hidrologi, output dari sistem atmosfera dalam bentuk kerpasan akan menjadi input kepada sistem geomorfologi (apabila air hujan memasuki tanih, tasik, kolam dan sebagainya).
Output dari sistem geomorfologi ini (dalam bentuk wap air yang disejatkan) akan menjadi input kepada sistem atmosfera untuk diproses menjadi output kepada sistem geomorfologi kembali. Semasa proses pertukaran input dan output ini akan melibatkan storan (simpanan) dalam sistem lata tersebut. Oleh sebab itu bagi sistem lata wujud satu jujukan input-output yang berterusan.

Sistem berinteraktif merupakan jalinan atau kombinasi antara sistem morfologi dengan sistem lata. Kaitan antara kedua-duanya adalah dibentuk oleh komponen sistem morfologi dan komponen sistem lata yang sama atau berkait rapat antara sama lain. Contohnya kemampuan serapan tanih (susupan air ke dalam tanih) adalah merupakan parameter penting dalam unit morfologi cerun dan pada masa yang sama ia juga merupakan input dalam sistem lain apabila air yang diserap oleh tanih tersimpan di dalam akuifer.
Air yang tersimpan di dalam akuifer ini akan mengalir menjadi input kepada saliran khususnya sungai yang menjadi komponen penting kepada sistem morfologi. Justeru itu wujud kombinasi yang tidak boleh dipisahkan antara sistem morfologi dengan sistem lata.  
   
Pembahagian Sistem Alam Sekitar Fizikal
Sistem bumi ini dibahagikan kepada empat iaitu Sistem Goemorfologi, Sistem Atmosfera, Sistem Hidrologi dan Sistem Ekologi.

Sistem geomorfologi adalah mengkaji saling kaitan antara proses, faktor dan bentuk di atas permukaan bumi sama ada yang makro atau yang mikro. Misalnya proses luluhawa, hakisan, pengangkutan dan gerakan jisim. Kombinasi pelbagai faktor fizikal akan menghasilkan pelbagai bentuk bumi sama ada di lembangan saliran, di pinggir pantai, dikawasan gurun, kawasan glasier, pra glasier dan sebagainya.

Sistem atmosfera pula mengkaji saling kaitan antara unsur-unsur iklim dan cuaca seperti suhu, hujan, tekanan udara, kelembapan udara, tiupan angin dan sebagainya yang berlaku di ruang atmosfera. Unsur-unsur iklim dan cuaca ini dikaji mengikut ruang dan masa.

Sistem hidrologi adalah kajian mengenai air sama ada di ruang litosfera atau atmosfera, termasuklah pelbagai jenis kerpasan, air permukaan seperti sungai, tasik, kolam dan juga air bawah tanah. Tumpuan kepada bagaimana air itu berkitar, perubahan yang dialami oleh air pada setiap peringkat kitaran, proses-prosesnya serta saling kaitan antara unsur-unsur yang ada dalam kitaran hidrologi.

Sistem ekologi pula satu sistem yang mengkaji habitat fauna dan flora yang dipecah-bahagikan kepada ekosistem-ekosistem yang berantaian antara satu sama lain seperti ekosistem muara ,ekosistem akuatik seperti laut, tasik, kolam, ekosistem hutan dan sebagainya. Tumpuan kajian adalah kepada aliran tenaga dan siratan makanan serta keseimbangan dalam ekosistem-ekosistem tersebut.



Interaksi antara Sistem Alam Sekitar Fizikal

Keempat-empat sistem alam sekitar fizikal di atas tidak berasingan, ia saling berinteraksi antara satu sama lain dalam hubungan yang kompleks. Sebarang perubahan atau gangguan yang dialami oleh sesebuah sistem akan turut mempengaruhi sistem-sistem yang lain.
Berdasarkan skima di atas, kita boleh bermula dimana-mana sistem kerana apa yang berlaku pada satu sistem tidak hanya terhenti setakat sistem itu sahaja, malah turut dialami oleh sistem-sistem yang lain. Misalnya bermula dengan kitaran hidrologi, proses sejatan berlaku di permukaan air seperti laut, ini diikuti pula oleh pemeluwapan dan kerpasan yang berlaku dalam sistem atmosfera.
Seterusnya proses pintasan @ cegatan silara dari tumbuh-tumbuhan yang berlaku dalam sistem ekologi. Seterusnya air larian permukaan dan aliran sub-permukaan berlaku dalam sistem geomorfologi. Akhirnya proses rembesan, aliran air bawah tanah, akuifer yang membekalkan air kepada sungai, tasik, paya, kolam dan lain-lain berlaku dalam sistem hidrologi. Dalam konteks ini, sistem hidrologi sendiri bertindak sebagai proses dan penyedia air manakala sistem-sistem yang lain sebagai medium @ bahantaranya kerana peringkat-peringkat dalam kitaran tersebut akan melibatkan keempat-empat sistem di atas.


1.2  SISTEM SURIA

Dalam alam semesta ini terdapat beberapa galaksi dan salah satunya ialah ‘Bima Sakti’. Galaksi Bima Sakti mengandungi 100 000 bintang. Matahari merupakan salah satu daripada bintang-bintang tersebut. Ia dikenali sebagai sistem suria. Sistem suria terdiri daripada matahari, sembilan planet, satelit semula jadi dan pelbagai jasad lain seperti asteriod, komet, meteorit dan awan habuk planet. Matahari dapat mengawal kedudukan kesemua jasad ini melalui tarikan gravitinya yang menghasilkan medan graviti. Kesemua jasad dan planet beredar mengelilingi matahari mengikut orbitnya yang berbentuk bujur atau elips. Planet yang paling hampir dengan matahari ialah Utarid (57.9 juta km) diikuti oleh Zuhrah, Bumi (149.6 juta km) Marikh, Musytari (778.8 juta km), Zuhal, Uranus (2870 juta km), Neptune dan Pluto (5900 juta km).

Matahari merupakan pusat bagi semua planet dalam sistem suria. Daya tarikan graviti matahari menyebabkan semua planet beredar mengelilinginya. Matahari mempunyai diameter 1 392 980 km.  Matahari terdiri daripada beberapa unsur dan yang paling utama ialah hidrogen serta helium. Kedua-dua ini membentuk hampir  99% daripada isipadu matahari. Suhu permukaan matahari dianggarkan kira-kira 5 500^ C dan suhu teras 15 juta^C. Suhu yang tinggi ini membolehkan matahari mengeluarkan cahaya. Matahari menjadikan sumber tenaga utama dalam sistem suria tersebut. 

Utarid adalah planet yang paling hampir dengan matahari pada jarak kira-kira 57.9 juta km. Utarid mempunyai diameter 487.8 km. Permukaannya seakan sama dengan permukaan bulan  kerana  terdapatnya kawah-kawah, tanah tinggi dan lembah. Meteorit besar yang jatuh ke permukaan Utarid telah mewujudkan kawah dan permukaan yang berlembah. Suhu Utarid pada siang dianggarkan kira-kira  400^C manakala pada waktu malam kira-kira 200^C. Julat suhu yang besar ini berlaku kerana tidak wujud lapisan atmosfera yang boleh memerangkap tenaga matahari di Utarid. Planet ini tidak mempunyai satelit.

Zuhrah adalah planet kedua hampir dengan matahari. Jarak Zuhrah dari matahari adalah kira-kira 108.2 juta km. Saiz dan jisimnya lebih kurang sama dengan Bumi. Diameter Zuhrah ialah 12 104 km. Atmosfera Zuhrah terdiri daripada gas karbon dioksida dan  fungsi gas ini ialah untuk menebat haba dari matahari. Suhu permukaan Zuhrah kira-kira 457^C. Zuhrah sentiasa dilitupi awan tebal yang mengandungi asid sulfurik. Planet Zuhrah juga tidak mempunyai satelit.

Bumi adalah planet yang ketiga dalam sistem suria. Jarak Bumi dari matahari ialah kira-kira 149.6 juta km. Diameter Bumi ialah 12 753 km. Bumi adalah satu-satunya planet dalam sistem suria yang dihuni oleh manusia, haiwan dan tumbuhan. Bumi beredar mengelilingi matahari mengikut orbitnya. Bumi berputar dari atas paksinya dari arah barat ke timur selama 24 jam. Bumi mempunyai satelitnya sendiri iaitu Bulan.
Marikh adalah planet yang paling kecil dalam sistem suria. Jarak Marikh dari matahari adalah kira-kira 227.9 juta km. Planet Marikh berdiameter kira-kira 6 785 km. Planet ini kelihatan merah kerana diselaputi oleh debu merah. Satu putaran Marikh mengelilingi matahari ialah 1.88 tahun. Tarikan graviti di Marikh adalah lebih lemah dan ini menyebabkan lapisan atmosferanya memiliki karbon dioksida sangat nipis berbanding atmosfera Bumi. Planet Marikh mempunyai dua buah satelit iaitu Phobes dan Diemos.

Musytari adalah planet terbesar dalam sistem suria. Planet ini mempunyai diameter kira-kira 142 800 km. Jaraknya dari matahari ialah 778.3 juta km. Planet ini mengelilingi matahari sekali dalam masa 12 tahun. Ia berputar di atas paksinya selama 9.8 jam bagi setiap putaran. Planet ini terdiri daripada 84% gas hidrogen, 15% gas helium dan bakinya ialah gas ammonia, metana, wap air dan lain-lain. Musytari mempunyai jaluran asteroid yang gelap dan juga lingkaran cahaya. Planet ini mempunyai 60 buah satelit.



Zuhal ialah planet yang kedua besar dalam sistem suria. Jarak Zuhal dan matahari adalah kira-kira 1 427 juta km. Diameter Zuhal ialah 119 871 km. Zuhal beredar mengelilingi matahari mengikut orbitnya dan mengambil masa 29.5 tahun untuk melengkapkan satu peredaran. Suhu lapisan atmosferanya ialah -170^C dan terdiri daripada gas hidrogen dan gas metana. Planet Zuhal juga berputar di atas paksinya dan mengambil masa kira-kira 10.67 jam. Zuhal memiliki banyak cincin dan 31 buah satelit.

Uranus ialah planet yang ketiga besar dalam sistem suria. Jarak Uranus dari matahari ialah kira-kira 2 871 juta km. Diameter Uranus adalah 51 488 km dan mengambil masa 84 tahun bumi untuk melengkapkan peredarannya mengelilingi matahari. Atmosfera berwarna kehijauan kerana kesan kehadiran gas metana. Satu putaran planet Uranus mengambil masa 17.24 jam. Suhu di permukaan Uranus adalah terlalu sejuk kerana  jaraknya yang jauh dari matahari. Planet ini mempunyai 18 buah satelit.

Neptun adalah planet yang kelapan dalam sistem suria. Jarak Neptun dari matahari adalah kira-kira 4 497 km. Ia berdiameter 49 493 km. Suhunya adalah 210^C iaitu terlalu rendah kerana jaraknya yang jauh dari matahari. Suhu di Neptun bersamaan dengan 165 tahun di bumi. Satu putaran planet Neptun mengambil masa kira-kira 16 jam. Planet ini mempunyai lapan buah satelit yang mengelilinginya.       








1.3  KEDUDUKAN BUMI DALAM SISTEM SURIA

Cahaya matahari melintasi sistem suria dalam masa 11.5 jam, bergerak dari matahari ke Bumi dalam masa 8 minit dan dari Bulan dalam masa 1.25 saat. Bumi terletak 149.6 juta km dari matahari. Bumi juga mempunyai satelit iaitu Bulan sejauh 384, 629 km dari Bumi.

Bumi sebagai Satu Sfera

Bumi adalah berbentuk sfera tetapi rata pada kedua-dua kutubnya. Ia mempunyai suatu jejari di Khatulistiwa sepanjang 638 km dan di kutubnya sepanjang 6357 km. Bumi terdiri daripada beberapa lapisan iaitu kerak bumi, mantel dan teras bumi

Kerak bumi merupakan lapisan luar bumi dan dikenali sebagai litosfera. Ketebalannya kira-kira 5 km bagi bawah dasar lautan dan hingga 40 km bagi puncak tanah tinggi di daratan. Sebahagian besarnya terbentuk daripada batuan igneus iaitu hasil daripada penyejukan dan pembekuan batuan cair dari dalam kerak bumi. Kerak bumi terdiri daripada dua bahagian iaitu sial dan sima. Sial ialah daratan yang membentuk benua dan pulau manakala sima ialah bahagian yang membentuk dasar laut dan lautan. Sempadan yang dikenali sebagai Ketakselanjaran Mohorovicic memisahkan lapisan kerak bumi daripada lapisan mantel. Lapisan ini mengimbangkan kerak bumi semasa pembentukan gunung-ganang.     






Ciri-ciri dan Perbezaan antara Sial dan Sima
Aspek
Sial
Sima
Jenis batuan
Granit
Basalt
Jenis mineral
Silika dan aluminium
Silika,besi,magnesium
Ketumpatan 
2.65-2.7 g /cm padu
2.8-3.1 g /cm padu
Ketebalan
30-40 km
5-10km
Ciri-ciri lain
Membentuk benua & pulau
Membentuk dasar laut & lautan
Isipadu
Lebih ringan
Lebih berat
Warna
Kecerahan sehingga 65 hingga
75% kandungan silika.
Gelap iaitu 50% kandungan
silika.
Lapisan
Terputus-putus
Bersambung

Mantel berada antara lapisan kerak bumi dan teras  bumi. Ketebalan lapisan ini kira-kira 2900 km dan membentuk 82% daripada isipadu bumi. Ia terdiri daripada batuan yang padat seperti basalt yang kaya dengan olivin. Ketakselanjaran Gutenberg menjadi pemisah antara lapisan teras bumi. Suhu bagi lapisan ini dianggarkan tinggi iaitu mencapai 800 hingga 1600^C. Ketumpatan ini dianggarkan kira-kira 3.3 hingga 5.8 g/cm padu.

Mantel terdiri daripada dua bahagian  iaitu mantel atas dan mantel bawah. Mantel atas membentuk sebahagian daripada litosfera, bersifat lembut, nipis dan ketebalannya 30-40 km. Mantel bawah pula dikenali sebagai astenosfera, dalam keadaan separa cair, suhunya dianggarkan 1400^C dan membolehkan lapisan litosfera terapung di atasnya. Terdapat arus perolakan di lapisan ini yang boleh menyebabkan  berlakunya pergerakan dalam bumi iaitu kuasa endogenik.

Teras bumi merupakan lapisan yang terakhir yang berada jauh di dalam  bumi. Ia dikenali sebagai barisfera. Suhunya adalah amat tinggi iaitu dalam lingkungan 3700 hingga 5000^C . Teras bumi terdiri daripada dua bahagian iaitu teras luar dan teras dalam.


Teras luar terbentang di antara ketebalan 2900 hingga 5600 km daripada  lapisan permukaan bumi. Sifatnya berkeadaan cair dengan ketumpatannya 10.0 hingga 12.3 g/cm padu. Suhunya pula tinggi iaitu 3700^C dan banyak mengandungi besi dan nikel atau nife.
Teras dalam pula terbentang di antara ketebalan 5600 hingga 6380 km dari permukaan bumi. Ianya berkeadaan pejal dengan ketumpatan ialah 13.3 hingga 13.6 g/cm padu. Suhunya amat tinggi mencapai 5000^C.

Bukti bumi berbentuk sfera

Bukti bumi berbentuk sfera iaitu bulat dapat dinyatakan berdasarkan bukti-bukti kajian oleh ahli-ahli geografi dan sains serta kejadian yang berlaku dalam sistem bumi.

Apabila pelayaran dilakukan dengan mengelilingi dunia oleh seorang ahli pelayaran iaitu Ferdinand Magellan dan anak-anak kapalnya pada tahun 1519 dan tahun 1552 di mana pelayaran ini telah menjelaskan bumi adalah berbentuk sfera. Tidak ada orang yang mengelilingi dunia baik melalui daratan dan lautan, yang bertemu dengan pinggir bumi yang boleh menyebabkan mereka tergelincir. Jalan-jalan udara dan lautan yang dilalui dalam zaman moden ini berdasarkan kebenaran bahawa bumi berbentuk sfera.  

Bukti seterusnya ialah kaki langit akan nampak melengkung dilihat daripada dek kapal di tengah-tengah lautan dan daratan. Ini bermakna jika kita berjalan jauh kita seolah-olah akan sampai ke bahagian kaki langit. Sebaliknya keadaan sebenar tidak sedemikan kerana semakin jauh kita pergi ke arah kaki langit ianya masih kelihatan semakin jauh untuk dicapai.

Begitu juga jika kita melihat pergerakan kapal dari tengah lautan yang luas, kita akan nampak asap, kemudiannya tiang kapalnya terlebih dahulu dan sedikit demi sedikit akan kelihatan kapal keseluruhannya apabila kapal tersebut semakin menghampiri kita.

Bukti daripada naik turunnya matahari iaitu ketika matahari terbit pada sebelah timur akan kelihatan sedikit demi sedikit di kaki langit dan kemudian menjadi tegak di atas kepala dan akhirnya  akan terbenam di sebelah barat sedikit demi sedikit. Apabila berlakunya gerhana bulan, kelihatan bayang-bayang bumi di permukaan bulan yang bersifat bulat @ melengkung.

Bukti lain ialah planet-planet lain dalam sistem suria semuanya adalah berbentuk sfera @ bulat seperti yang bermula dari planet Utarid hinggalah kepada planet Pluto. Begitu juga gambar-gambar yang telah diambil dari kapal angkasa dan setelit telah menunjukkan bumi sebenarnya berbentuk bulat.

KECONDONGAN PAKSI

Bumi  condong sedikit dalam hubungannya dengan matahari. Bumi berputar pada paksinya yang condong pada sudut 23 ½^ daripada satah menegak yang bersudut tepat dengan satah orbit. Kadang-kadang Kutub Utara condong ke arah matahari dan kadang-kadang condong menjauh dari matahari.
      
PERGERAKAN BUMI DALAM SISTEM SURIA

Pergerakan bumi dalam sistem suria berlaku melalui dua cara iaitu putaran bumi di atas paksinya dan peredaran bumi mengelilingi matahari. Kedua-dua fenomena ini menghasilkan fenomena  atau kesan yang berbeza.

Putaran bumi

Bumi berputar pada paksinya yang condong pada sudut 23 ½^ pada satah tegak. Arah putaran Bumi ialah dari barat ke timur. Satu putaran 360 darjah dan mengambil masa 24 jam. Putaran bumi menyebabkan berlakunya kejadian siang dan malam. Semasa berputar, permukaan bumi yang mengadap  matahari mengalami siang manakala permukaan bumi bumi yang terlindung akan mengalami malam.
Selain itu, putaran bumi juga akan menyebabkan fenomena pasang dan surut air laut. Pasang dan surut merujuk kepada kejadian aras air tinggi dan aras air rendah di laut. Fenomena ini disebabkan oleh tarikan graviti bulan dan matahari.

Berdasarkan rajah 1.5 di atas, tarikan graviti bulan akan menarik air laut di permukaan bumi  yang mengadap bulan menyebabkan kawasan A dan C mengalami pertambahan air laut atau air pasang pada masa yang sama bahagian B dan D mengalami penurunan air laut atau air surut. Kedudukan air pasang dan surut ini akan berubah apabila kedudukan bulan berada di D atau B. Pada masa itu, bahagian A dan C pula akan mengalami air surut manakala bahagian B dan D mengalami air pasang.

Tarikan graviti menjadi lebih kuat apabila graviti bulan dan matahari bertindak bersama dan mengakibatkan air pasang meningkat ke paras tertinggi. Air pasang maksimum ini dinamakan sebagai air pasang perbani. Dalam keadaan bulan, bumi dan matahari berada dalam keadaan sudut tepat, air pasang yang terjadi adalah sangat rendah dan air pasang minimum ini dinamakan air pasang anak.

Peredaran bumi

Bumi beredar mengelilingi matahari dalam orbitnya. Peredaran mengelilingi matahari mengambil masa 365 ¼ hari atau satu tahun. Peredaran berlaku mengikut arah lawan jam. Jarak yang paling dekat (147 juta km) dengan matahari ialah pada 3 Januari dan dikenali sebagai perihelion. Manakala jarak yang paling jauh (152 km) dengan matahari pada 4 Julai dikenali sebagai afelion. (Rajah 1.6)

Peredaran bumi akan menyebabkan dua fenomena penting  iaitu kejadian empat musim dan kejadian gerhana. Kejadian empat musim disemua kawasan permukaan bumi kecuali di kawasan Tropika akibat pergerakan bumi mengelilingi matahari dalam paksi bumi yang condong. Kejadian musim lebih ketara dan nyata ke arah Kutub Utara dan Kutub Selatan iaitu semakin jauh dari garisan Khatulistiwa. Kawasan Tropika tidak mengalami empat musim kerana kawasan ini menerima pancaran cahaya matahari sepanjang tahun dan hampir sama jangka masa siang dan malam iaitu 12 jam. Pada kawasan-kawasan tertentu, disebabkan kecondongan paksi bumi dan kedudukan bumi waktu-waktu berlainan ketika mengelilingi matahari akan menyebabkan fenomena musim yang berlainan di sesuatu tempat.

Empat musim yang dialami ialah musim sejuk, musim panas, musim bunga dan musim luruh. Jenis musim yang dialami bergantung kepada jumlah tenaga matahari yang diterima. Pada Soltis musim panas, matahari berada tegak atas kepala di Garisan Sartan. Ketika ini, Hemisfera Utara mengalami musim panas. Jangka masa siangnya lebih panjang berbanding dengan jangka masa malam. Kawasan Artik pula akan mengalami 24 jam siang kerana matahari bersinar sepanjang hari iaitu 24 jam. Di Hemisfera Selatan pula pada masa yang sama akan mengalami waktu malam yang lebih panjang berbanding dengan waktu siang. Di Antartik pula akan mengalami 24 jam malam kerana terlindung daripada pancaran matahari.

Pada masa Soltis musim sejuk, matahari tengah hari berada tegak di atas kepala di Garisan Jadi. Pada ketika ini, Hemisfera Selatan pula akan mengalami musim panas dengan waktu siangnya yang lebih panjang. Kawasan Antartik mengalami siang selama 24 jam kerana menerima pancaran matahari sepanjang hari. Manakala di Hemisfera Utara pada masa ini mengalami musim sejuk pula dengan kawasan Artik tidak mendapat pancaran matahari selama 24 jam atau sepanjang hari.

Ekuinoks pula berlaku dua kali dalam setahun iaitu pada 21 Mac dan 23 September. Pada masa ini, matahari berada tegak di atas garisan Khatulistiwa dan seluruh dunia kecuali kawasan Kutub Utara dan Kutub Selatan mengalami 12 jam siang dan 12 jam malam. Kawasan di Hemisfera Utara mengalami musim bunga pada ekuinoks bulan 21 Mac dan musim luruh pada ekuinoks  22 September. Kawasan di Hemisfera Selatan mengalami musim luruh pada ekuinoks bulan Mac dan musim bunga pada ekuinoks bulan September.


Fenomena gerhana berlaku apabila kedudukan bulan, bumi dan matahari berada pada satah mendatar yang sama. Jika bumi berada di antara matahari dan bulan, maka cahaya matahari telah dihalang oleh bumi dan bayangan bumi akan jatuh pada bulan dan menyebabkan berlakunya  gerhana bulan. Jika bulan pula berada di antara matahari dengan bumi, maka bayangan bulan akan jatuh pada permukaan dan menyebabkan fenomena gerhana matahari.

KOMPONEN SISTEM BUMI

Bumi kita terdiri daripada empat bahagian sfera iaitu Atmosfera, Litosfera, Hidrosfera, dan Biosfera. Setiap bahagian sfera mempunyai ciri-ciri dan berinteraksi atau salingkaitan antara satu dengan yang lain berasaskan pengaliran sumber tenaga atau bahangan daripada matahari. Walaupun jumlah tenaga matahari yang sampai ke sistem bumi sedikit tetapi sejumlah tenaga ini sudah cukup untuk menghidupkan sistem bumi.

1.Atmosfera    
                                                               
Atmosfera merupakan lapisan udara yang meliputi bumi degan ketebalan lebih kurang 1000 km. Lapisan atmosfera mempunyai ketumpatan 0 dan mengandungi gas, wap air, debu dan habuk. Gas-gas yang terdapat dalam atmosfera seperti nitrogen 78%, oksigen 21%, argon 0.93%, karbon dioksida 0.03% dan lain-lain gas seperti neon, helium, metana, hidrogen, nitrusoksida dan ozon. Nitrogen, oksigen karbon dioksida merupakan gas-gas yang utama dan hampir dengan permukaan bumi. Lapisan udara semakin padat berhampiran dengan permukaan bumi dan semakin nipis di lapisan atas daripada permukaan bumi. Atmosfera merupakan lapisan udara yang amat penting kepada kehidupan samada manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Kepentingannya dapat dijelaskan sebagai berikut:

1.     Gas oksigen amat penting kepada pernafasan semua kehidupan.
2.     Gas karbon dioksida pula penting untuk proses fotosentesis bagi tumbuh-
      tumbuhan.
3.     Fenomena cuaca akan berlaku pada ruang atmosfera seperti proses
      penyejatan, pembentukan awan dan kejadian kerpasan yang amat penting
      kepada seluruh kehidupan di bumi kerana dapat membekalkan sumber air.
4.     Lapisan atmosfera merupakan ruang pergerakan ruang pergerakan gelombang       
      yang boleh memajukan perkembangan telekomunikasi.
5.     Pada ruang atmosfera yang terdapat lapisan ozon pula amat penting sebagai
      lapisan penyerap jenis cahaya matahari iaitu cahaya ultrungu.
6.     Oleh kerana terdapat pelbagai bahan dalam ruang atmosfera,maka ia turut
      berfungsi sebagai penebat haba kerana dapat menyerap sebahagian haba  
      yang dipancarkan dari matahari dan haba yang dibalikkan semula oleh bumi.
7.     Atmosfera juga menjadi ruang yang mampu membolehkan pembakaran dan 
     penghancuran meteorit, yang boleh mengelak dari jatuh terus ke permukaan
     bumi.


Komponen Atmosfera

a.     Troposfera

Troposfera merupakan lapisan yang paling hampir dengan permukaan bumi dan tarikan gravitinya yang kuat. Ketebalan lapisan ini dianggarkan kira-kira 8km hingga 18km. Ia  merupakan lapisan yang tidak stabil kerana sekitar lapisan inilah sering berlakunya keadaan cuaca seperti perubahan suhu, pergerakan angin, pembentukan awan dan hujan dari wap-wap air yang tersejat. Turut terdapat pada ruang troposfera ialah gas oksigen, karbon dioksida dan wap air yang membolehkan manusia,haiwan dan tumbuhan hidup di lapisan permukaan bumi. Selain itu, lapisan ini berfungsi sebagai penebat kepada haba iaitu dapat meresap sebahagian haba daripada matahari dan bumi. Keadaan tekanan udara pada lapisan ini adalah tinggi kerana terdapat tarikan graviti yang lebih kuat. Lazimnya pada ruang atmosfera perubahan suhu akan menurun sebanyak 1^C bagi setiap kenaikan 165 m dan sebaliknya. Lapisan yang memisahkan troposfera dengan stratosfera ialah Tropopaus.

b.     Staratosfera

Statosfera merupakan lapisan  yang lebih tebal daripada troposfera iaitu dianggarkan lebih dari dua kali ganda. Ianya bermula dari troposfera kira-kira pada ketinggian 18 km hingga ke lapisan ke 80 km. Lapisan ini tidak berawan, kering dan nipis. Oleh itu ia lebih stabil dan sesuai bagi penerbangan kapal terbang. Pada lapisan ini suhunya akan meningkat iaitu dari 50^C pada lapisan tropopaus tetapi meningkat kepada 0^C di kawasan atasnya. Lapisan yang memisahkan stratosfera dengan mesosfera ialah Sratopaus.
Oleh kerana pada lapisan ini terdapat lapisan ozon maka ianya amat berfungsi menyerap cahaya/ pancaran ultraungu boleh menyebabkan penyakit ketarak mata, kanser kulit dan boleh melemahkan sistem pelalian badan manusia.

c.      Mesosfera

Lapisan ini terletak pada aras 50 km iaitu dari stratosfera hingga ke 80 km. Keadaan suhu pada lapisan ini dikatakan semakin rendah bila semakin menghampiri kawasan angkasa lepas. Min suhunya berubah-ubah dari kira-kira 0^C hingga 80^C . Ruang inilah merupakan kawasan yang boleh menghasilkan pembakaran dan penghancuran meteorit sebelum ianya jatuh ke permukaan bumi. Lapisan yang memisahkan mesosfera dengan termosfera ialah Mesopaus.

d.     Termosfera

Termosfera merupakan satu lapisan yang luas yang terbentang dari ketinggian 80 km hingga ke 600 km dari permukaan bumi. Lapisan ini juga dikenali sebagai lapisan Lonosfera, terutama yang terletak pada aras ketinggian 100 km hingga ke 600 km. suhu di ruang ini menjadi semakin meningkat mengikut ketinggian kerana ia merupakan lapisan yang banyak menyerap sinaran cahaya ultraungu. Dianggarkan suhunya kira-kira 1650^C. Pada ruang atmosfera ini terdapat zarah-zarah yang terdiri daripada gas-gas yang bercas (ION) yang dapat memantulkan gelombang radio ke permukaan bumi dan inilah yang boleh memajukan perkembangan telekomunikasi manusia. Turut terdapat pada lapisan ini ialah jalur-jalur yang berwarna –warni hasil daripada tindakan di antara zarah-zarah bercas  dengan magnet bumi dan gas-gas atmosfera yang dikenali sebagai “aurora”.

e.     Eksosfera

Eksosfera adalah lapisan yang paling jauh ke atas dari permukaan bumi dan mengandungi gas-gas ringan seperti helium, hidrogen dan argon. Udara pada lapisan ini amat nipis sehingga ia digelar sebagai lapisan Vakum. Kedudukannya ialah pada aras ketinggian hingga 700km hingga ke 1000km .










2.Litosfera

Litosfera  merupakan bahagian luar bumi yang bersifat pejal dan terdiri daripada batuan dan mineral. Lapisan ini adalah bahagian kerak bumi dan terletak di atas lapisan mantel. Ketebalan kerak bumi / litosfera adalah antara 30 km yang membentuk daratan dan kira-kira 10 km yang menjadi dasar lautan dan lapisan mantel. Oleh itu bahagian membentuk daratan sebagai sial dan dasar lautan sebagai sima. Litosfera merupakan lapisan yang dinamik dan menghasilkan pelbagai bentuk muka bumi seperti gunung, lurah, dataran tinggi, dataran, dan dasar laut.  

·        Kepentingan lapisan litosfera kepada kehidupan di bumi

1.  Merupakan habitat kepada organisma hidup seperti manusia, haiwan dan
    tumbuh-tumbuhan.
2.  Lapisannya amat kaya dengan oleh pelbagai mineral dan batuan untuk menjana
    kemajuan dalam kegiatan ekonomi seperti perlombongan dan pembinaan.
3.  Batuan yang lama terdedah pada luluhawa akan menghasilkan tanah tanih yang
    amat penting kepada kegiatan pertanian.
4.  Tanih yang mengandungi nutrien yang banyak amat berguna kepada
     pertumbuhan dan pembesaran tumbuh-tumbuhan       

         Hidrosfera

Ianya merupakan bahagian yang terdiri daripada air iaitu dianggarkan kira-kira 71% atau 2/3  daripada permukaan bumi.  Bahagian yang terdiri daripada air ini termasuk laut dan lautan kira-kira 97.2% (air  masin) manakala air sungai, air tasik, air bawah tanah, wap air dan litupan salji serta dan glasier kira-kira 2.8%. Kawasan lautan yang utama di dunia terdiri dari Lautan Pasifik (yang terbesar), Lautan Artik, Lautan Hindi dan Lautan Antartik. Suhu air laut adalah berbeza-beza dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Contohnya di Kawasan Khatulistiwa suhunya panas kira-kira 21^C , manakala di kawasan garis lintang sederhana iaitu 45^C turun kepada 13^C dan di kawasan dengan hampir dengan Kutub pula suhu air lautnya hingga 0^C iaitu di bawah takat beku.

Kitaran hidrologi / kitaran air, menjamin kuantiti air di lapisan hidrosfera tidak banyak berubah kerana kehilangan air dari proses sejatan dari laut digantikan semula oleh hujan dan aliran terus sebahagiannya ke laut semula. Manusia, haiwan dan segala kehidupan amat bergantung kepaada hidrosfera.

·        Kepentingan hidrosfera
1.  Merupakan habitat kepada pelbagai organisma dan tumbuh-tumbuhan air.
2.  Sungai, laut, lautan manjadi jalan perhubungan dan  pengangkutan semulajadi
     yang penting.
3.  Membekalkan sumber makanan seperti ikan, udang, ketam dan sebagainya.
4.  Punca pendapatan penduduk yang tiggal berhampiran dengan laut, sungai dan
     tasik.
5.  Dapat membangunkan industri menjana kuasa hidroelektrik.
6.  Membekalkan sumber air kepada penggunaan domestik penduduk seperti
    membasuh, minum, mandi dan memasak.
7.  Manjadi bahan penting dalam industri yang berkaitan dengan  bekalan air
     seperti besi keluli, membuat batik, dan industri minuman.
8.  Membekalkan air kepada sistem pengairan di kawasan pertanian.
9.  Kawasan yang bertakung air dapat ditanam dengan tanaman seperti jut, padi,
     bakau dan nipah. 

4       Biosfera   
  
Biosfera merupakan bahagian yang terdiri daripada segala hidupan termasuklah manusia, haiwan tumbuh-tumbuhan dan organisma seni. Hidupan ini saling berkaitan dengan sistem yang lain dalam sistem bumi untuk terus hidup.

·        Kepentingan biosfera
1.     Manusia dan haiwan membekalkan karbon dioksida ke atmosfera dan berguna
      kepada tumbuhan  hijau untuk proses fotosintesis iaitu proses di mana pokok
      membuat makanannya.
2.  Tumbuhan pula membebaskan oksigen ke lapisan udara dan berguna untuk
     pernafasan manusia dan haiwan. Turut penting tumbuhan membekalkan       
     makanan  kepada manusia, haiwan dan menjadi bahan mentah dalam   
     perindustrian.
3.  Bakteria dan kulat pula menjadi agen untuk mengurai dan mereputkan haiwan
     dan tumbuhan yang  mati untuk membekalkan nutrien dan kesuburan tanah.
     Ini menggalakkan pertumbuhan tumbuh-tumbuhan. 

Pada umumya kesemua sistem dalam sistem bumi yang  terdiri daripada Atmosfera, Litosfera, Hidrosfera dan Biosfera sebenarnya saling berinteraksi dan bergantungan antara satu dengan yang lain untuk mewujudkan keseimbangan dan hidupan dalam ekosistem. Walaubagaimanapun, matahari turut menjadi punca  atau tenaga utama dalam interaksi sistem-sistem bumi. Batuan direputkan untuk membentuk tanah –tanih bagi membolehkan tumbuhan tumbuh, matahari mempengaruhi proses penyejatan, membentuk awan dan kejadian hujan untuk pokok tumbuh subur. Tumbuhan membekalkan oksigen kepada pernafasan haiwan dan manusia dan seterusnya membekalkan makanan. Manusia membebaskan karbon dioksida ke udara dan digunakan oleh tumbuhan untuk membuat makanannya. Hidrosfera menjadi habitat hidupan air dan menjadi bekalan makanan manusia. Air laut membekalkan hujan ke bumi melalui sejatan dan kerpasan serta banyak lagi contoh saling kaitan dan interaksi di antara sistem-sistem bumi.

 1.4  TENAGA

Konsep tenaga

Tenaga ditakrifkan sebagai keupayaan melakukan sesuatu kerja. Terdapat pelbagai bentuk tenaga seperti tenaga keupayaan, tenaga kinetik, tenaga cahaya, tenaga haba, tenaga kimia dan tenaga elektrik. Tenaga amat penting untuk semua kehidupan. Sistem bumi mempunyai dua sumber tenaga yang utama iaitu tenaga endogenik dan tenaga eksogenik.

Jenis dan punca tenaga

Tenaga keupayaan ialah tenaga yang tersimpan dalam sesuatu jasad seperti tenaga yang terdapat dalam air empangan. Tenaga kinetik merupakan tenaga yang dihasilkan oleh pergerakan sesuatu jasad seperti tenaga yang terdapat dalam aliran sungai. Semakin laju pergerakan sesuatu jasad, semakin tinggi tenaga kinetik yang dihasilkan. Tenaga cahaya merupakan tenaga yang dihasilkan oleh sesuatu objek seperti tenaga cahaya matahari. Tenaga haba pula merupakan tenaga yang terdapat dalam sesuatu objek yang mempunyai suhu yang lebih  tinggi dari persekitarannya. Tenaga haba dapat dipindahkan bersama-sama tenaga cahaya. 

Tenaga kimia merupakan tenaga yang tersimpan dalam sesuatu bahan yang terdiri daripada sebatian kimia seperti tenaga yang tersimpan dalam makanan. Tenaga elektrik merupakan tenaga yang dihasilkan oleh sesuatu arus elektrik. Semua tenaga boleh dipindahkan bentuknya melalui proses-proses tertentu. Contohnya apabila sesuatu makanan dimakan oleh haiwan atau manusia, tenaga yang terlibat adalah tenaga kimia (dalam makanan) telah dipindahkan kepada bentuk tenaga haba (badan menjadi panas) dan tenaga kinetik (dihasilkan semasa pergerakan).

Dalam sistem bumi, tedapat dua punca atau sumber tenaga iaitu dari dalam bumi (endogenik) dan dari luar sistem bumi (eksogenik).

Tenaga endogenik ialah tenaga dari dalam bumi seperti tenaga radiogenik (hasil dari arus perolakan di bawah plat bumi) dan terikan graviti. Tenaga ini menghasilkan kuasa mampatan dan kuasa kerenggangan.

Tenaga eksogenik pula berpunca dari luar kerak bumi terutamanya dari matahari. Ia menghasilkan proses geomorfologi (pembentukan bentuk muka bumi yang mengubah permukaan bumi).

Perbezaan tenaga eksogenik dengan tenaga endogenik ialah tenaga eksogenik berpunca dari luar sistem bumi iaitu dari matahari dan sampai dalam bentuk tenaga haba dan cahaya. Tenaga endogenik berpunca dari dalam bumi dan terkumpul dalam bentuk radiogenik. Tenaga eksogenik menyebabkan kejadian agen-agen geomorfologi manakala tenaga endogenik menyebabkan berlakunya pergerakan tektonik.
                                                             
Perbezaan penerimaan tenaga suria dan kaitannya dengan kejadian siang dan malam dan kejadian empat musim.

Pergerakan bumi melibatkan putaran bumi pada paksi yang condong dan edaran bumi mengelilingi matahari. Putaran bumi menyebabkan fenomena siang dan malam. Bumi berputar dari arah barat ke timur. Kawasan permukaan bumi yang menerima pancaran matahari akan mengalami waktu siang dan menerima tenaga suria yang banyak. Kawasan yang terlindung dari pancaran matahari pula akan mengalami waktu malam dan menerima tenaga suri yang sedikit. Ini dapat dilihat melalui rajah 1.8 di bawah.  


Putaran bumi pada paksi yang condong pula akan menyebabkan kejadian waktu siang dan malam yang tidak sama panjang. Pada 22 Disember, matahari tegak di atas garisan Jadi di hemisfera Selatan. Pada ketika ini, hemisfera Selatan tercondong ke arah matahari, manakala hemisfera Utara tercondong jauh dari pancaran matahari. Pada masa ini keseluruhan hemisfera Selatan mengalami waktu siang yang lama. Contohnya pada Garisan Jadi waktu siang adalah 16 jam dan kawasan kutub Selatan pula mengalami 24 jam waktu siang. Umumnya hemisfera selatan menerima tenaga suria yang banyak. Pada waktu yang sama hemisfera utara mengalami waktu siang yang pendek dan waktu malam yang panjang. Jadi keseluruhannya hemisfera utara menerima tenaga suria yang kurang.

  Peredaran bumi mengelilingi matahari mengambil masa 365 ¼ hari (setahun) untuk satu orbit yang lengkap. Pergerakan ini menghasilkan fenomena musim di kawasan –kawasan garis lintang sederhana dan tinggi. Pada kedudukan 21 Jun, bumi mengalami Soltis musim panas. Pada ketika ini matahari berada tegak di Garisan Sartan. Kawasan garis lintang sederhana dan tinggi di hemisfera Utara mengalami musim panas manakala kawasan garis lintang sederhana dan tinggi di hemisfera Selatan mengalami musim sejuk. Kawasan yang mengalami musim panas akan menerima taburan tenaga suria yang banyak manakala kawasan yang mengalami musim sejuk akan menerima taburan tenaga suria yang kurang.   

Kejadian empat musim dan pengaruhnya terhadap aktiviti manusia
Kejadian empat musim mempunyai pengaruh yang besar terhadap pelbagai aktiviti manusia. Taburan tenaga suria yang tidak seimbang di permukaan bumi telah mempengaruhi kehidupan manusia. Dalam bidang pertanian, taburan tenaga suria yang banyak pada sepanjang tahun di kawasan tropika lembap membolehkan pelbagai aktiviti pertanian seperti membajak, menanam, membaja dan meracun dijalankan sepanjang tahun. Proses fotosintesis juga berlaku sepanjang tahun kerana proses fotosintesis memerlukan cahaya matahari yang mencukupi. Selain itu, pelbagai jenis tanamn tropika dapat ditanam disini seperti getah, kelapa sawit, koko, kopi, teh dan sebagainya. Sebaliknya di kawasan garis lintang sederhana dan tinggi, aktiviti pertanian hanya dapat dilakukan pada musim bunga dan musim panas sahaja. Ini kerana penerimaan tenaga suria tidak berlaku  pada sepanjang tahun.

Taburan tenaga suria mempengaruhi aktiviti manusia

1.     Perikanan

Kawasan tropika yang menerima tenaga suria menggalakkan pertumbuhan plankton sepanjang tahun. Bekalan plankton menggalakkan hidupan ekosistem laut yang kaya dengan pelbagai jenis ikan. Kegiatan perikanan dapat dilakukan sepanjang tahun. Sebaliknya di kawasan bermusim, pembiakan plankton tidak berlaku sepanjang tahun kerana di kawasan tersebut bekalan tenaga suria sangat terhad. Lagipun, pada musim sejuk air laut menjadi sejuk serta membeku. Fenomena ini tidak menggalakkan aktiviti perikanan dijalankan.

2.     Penternakan

Kawasan tropika yang bersuhu panas dan menerima hujan yang lebat sepanjang tahun menggalakkan pertumbuhan padang rumput. Hal ini membolehkan kegiatan penternakan kambing dan lembu secara terbuka dapat dijalankan pada sepanjang tahun. Sebaliknya di kawasan bermusim kegiatan penternakan terbuka hanya boleh dilakukan pada musim bunga dan panas. Apabila tiba musim sejuk, binatang ternakan dikurung di dalam kandang dan makanan perlu disediakan.

3.     Pelancongan

Kawasan tropika lembap yang berkeadaan panas sepanjang tahun menjadi destinasi para pelancong terutama dari Negara-negara yang mengalami musim sejuk. Mereka gemar mandi di laut dan berjemur di pinggir pantai yang  berpasir. Di Negara yang bermusim, aktiviti di pantai tidak dapat dilakukan terutama pada musim sejuk. Ini kerana suhu yang rendah bukan sahaja menghalang aktiviti bahkan membahayakan nyawa.

4.     Aktaviti sosial


Di kawasan tropika, aktiviti sosial seperti  sukan boleh dijalankan pada sepanjang tahun, manakala di kawasan bermusim aktiviti berkenaan terhad pada musim panas. Dari segi pakaian pula penduduk di kawasan tropika perlu menggunakan pakaian nipis daripada kain kapas atau nylon pada sepanjang tahun manakala penduduk di kawasan bermusim memilih pakaian mengikut musim iaitu pakaian tebal pada musim sejuk dan pakaian nipis pada musim panas.